Saturday, 14 September 2019

Nik Aziz pasti gembira kerjasama PAS - UMNO kataHadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata penyatuan PAS dan UMNO hari ini telah pun dipersetujui oleh bekas Mursyidul Am parti ituallahyarham Nik Aziz Nik Mat ketika beliau masih hidup lagi.

Hadi berkata demikianketika ditanya wartawan sekiranya arwah Nik Azizakan gembira dengan pemetraianpiagam antara kedua-dua parti ini.

:Oh ya, (gembira dengan penyatuan UMNO - PAS). Taawun ialah satu istilah yang dah sepakat dengan tok guru Nik Aziz masa beliau masih hidup lagi.

:Kerana kerjasama 70an dulu tahaluf, coalition (gabungan parti campuran). Kita perlu perkenalan pendekatan baru ialah cooperation (kerjasama antara parti)

Itu yang dibincang Syura ulama. Dia masa tuan guru Aziz hidup lagi", katanya.

Beliau berkata demikian ketika  sidang media bersama pimpinan parti kanan UMNO dan PAS, selepas memeterai piagam di Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Kenyataan Hadi hari iniseiring dengan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Manyang berkata penyatuan ummah atau kerjasama antara UMNO dan PAS selaras dengan kehendak Nik Aziz.

Monday, 13 May 2019

Mat Rempit, tolonglah jaga adab di bulan puasa.

Semalam tular video mat rempit berlumba di jalan raya. Kemudian pada penghujungnya ditunjukkan seorang dari mereka terbabas dan putus tangannya. Mat rempit semua, berehatlah sebentar aktiviti rempitmu dan hormatilah bulan Ramadhan yang mulia ini.
Terima kasih.
Assalamualaikum. Semalam tular sekali lagi berita satu keluarga menemui ajal di dalam kereta ketika sedang tertidur berehat kepenatan dalam keadaan pendingin hawa masih berfungsi. Mungkin keluarga ini tidak pernah terbaca bahawa dilarang sama sekali menghidupkan pendingin hawa ketika kita tidur di dalam kereta kerana ditakuti keracunan. Atau mungkin juga mereka tak sempat membuka sedikit cermin tingkap-tingkap kereta sebaik berhenti berehat kerana mengantuk sangat agaknya. Apa nak buat, benda dah terjadi. Takpelah saya ulangi peringatan untuk saya, keluarga dan pembaca semua. Tolonglah buka sedikit keempat-empat cermin kereta bila berhenti melepaskan penat seketika, kerana bila kita berehat takut tertidur dan takut udara sejuk dari pendingin hawa mengandungi racun yang mampu membunuh kita secara perlahan-lahan. Bila ini berlaku semua yang tinggal akan merasa sedih. Terima kasih semua.

Sunday, 15 July 2018

Marhaban Hari Raya dan Rumah Terbuka

Assalamualaikum. Apa khabar pembaca budiman semua. Terima kasih kerana sudi membaca blog ini. Hari ini mari kita bercerita tentang aktiviti selepas raya. Di Johor ini memang dipenuhi dengan marhaban dari rumah ke rumah. Sangat meriah. Memang betul dapatmerapatkan silaturrahim tetapi di sebalik kemeriahan tersebut ada juga keburukkannya. Kiralah, kalau kita menganggotaibanyak kumpulan tentu banyak kumpulan marhaban yang kita kena ikut. Masa kena bijak kita bahagi-bahagikan. Dan yang lebih parah ialah tentulah banyak kali kita kena menyediakan jamuan kerana setiap kumpulan yang datang takkan kita nak hidang air bujang sahaja. Untuk mengelakkan budjet lari eloklah kita buat sekali sahaja. Kita satukan dalam majlis Rumah Terbuka. Buat persiapan lebih sedikit dan jemputlah semua orang datang..... Insyaallahsaya uploadkan gambar2 hari raya tahun ini untuk tatapan semua. Terima kasih...bye.

Saturday, 19 May 2018

Tahniah Kerajaan Baru Pakatan Harapan.

Assalamualaikum para sahabat pembaca yang budiman. Hari ini 20 Mei 2018 bersamaan 4 Ramadhan 1439 hijriah. Belum terlambat untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada kaum muslimin semua. Hari ini juga genaplah umur saya 50 tahun, alhamdulillah bersyukur kehadrat ilahi kerana memberi peluang saya melihat dunia lagi. Di sebaliknya kenalah beringat usia kurniaan tuhan ini semakin singkat, moga2 dapat saya isikan dengan amalah untuk jadi bekalan kehidupan di sana nanti. Hari ini juga hari ke 10 kejayaan Pakatan Harapan memenangi pilihanraya menewaskan kerajaan Barisan Nasional selepas berkuasa selama 60 tahun. Menuju 100 hari yang dinanti-nantikan banyak yang sedang dinanti oleh rakyat dan banyak juga yang telah dilakukan oleh Tun M ke arah itu. Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Tun telah segera menamakan YB Dr Azizah sebagai Timbalannya. YB Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, YB Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan YB Tan Seri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri. Terbaharu pula beliau menamakan beberapa orang menteri lagi sebagai menteri penuh mengikut parti dalam PH seperti Dr Mazlee Malik, Pn Rina Harun, DS Azmin Ali, Pn Zuraidah Kamaruddin, Gobin Sing, Anthony Loke, Dr Zulkifli Ahmad, dan Haji Salahuddin Ayub. Tidak berhenti di situ Tun juga telah menubuhkan Majlis penasihat kerajaan yang terdiri dari pakar-pakar dalam bidang masing-masing. Nama-nama seperti Tun Daim Zainuddin, Prof JK Sundaram, Hassan Merican dan Dr Zetti Aziz serta TS Robert Kuok sangat dikenali dan penuh integriti. Rakyat seluruhnya mengucapkan tahniah dan terima kasih atas daya usaha dan kesungguhan Tun dan pucuk pimpinan PH yang berusaha keras siang dan malam untuk menjadikan Malaysia ini maju, makmur, aman dan bersatu padu. Tidak harus dilupakan juga bahawa sejarah telah tercatat terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim yang mana beliau telah diberikan pengampunan penuh tanpa sebarang syarat oleh Yang DiPertuan Agong. Pembebasannya ini membolehkan beliau terus melibatkan diri dalam politik tanpa menunggu lima tahun edah.Bagaimanapun beliau mengambil langkah cerdik, membiarkan Tun terus mengetuai pentadbiran negara dengan alasan beliau mahu berihat dan bersama keluarga kerana beliau telah lama dipenjara dan jauh dari keluarga. Tahniah Dato Seri Anwar. Kalau kita merasa bangga dengan kemenangan PH dan yakin dengan kemampuan mereka mentadbir negara bagaimana pula dengan keadaan Barisan Nasional yang tewas itu? Barisan Nasional mengalami kemusnahan yang amat teruk dan perlu segera diperbaiki sebelum berpecah belah. Ketiga-tiga komponen utama BN sedang melalui waktu murung dan terkejut dengan kekalahan yang mereka tidak sangkakan. Untuk rekod presiden MIC dan Presiden MCA telah kalah kepada lawan masing-masing dengan majoriti yang agak besar juga. Di pihak UMNO pula walaupun Presiden mereka menang ramai menteri telah tewas. Mereka perlu membuat post mortem dan mencari punca kekalahan, menyusun semula barisan dan terus menghunus senjata turun ke medan pentempuran lima tahun lagi. Semuanya itu boleh dilakukan kerana BN masih memiliki 79 kerusi parlimen, mereka kekurangan 33 kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan. Tetapi mampukah mereka menggapainya dengan segera? Pada pandangan saya mereka tidak akan mampu memenangi pucuk pemerintahan negara ini dalam masa terdekat. Mereka mungkin memerlukan paling kurang 4 kali pilihanraya (20 tahun). Ketika itu nanti yang akan mengundi ialah belia yang tidak mengetahui kezaliman dan penyalahgunaan kuasa pemimpin yang beru tewas pru 14 lepas. Selagi mana rakyat yang ada sekarang masih layak mengundi selagi itulah mereka masih terkenang dengan masalah 1MDB, SRC International, kapal selam scorpene, Altantuya, kes pukul oleh bekas TPM, pelaburan negeri china yang tidak munasabah dan pelbagai lagi. Selain faktor yang dinyatakan di atas, sikap pemimpin kerajaan yang dilihat memperbodohkan rakyat juga amat menjelikkan. Ahmad maslan dengan yakin memberitahu GST akan dapat menurunkan harga barang tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ada juga menteri yang meminta lalu di laluan lama sekiranya rakyat tidak mampu membayar tol, meminta rakyat jangan makan ayam jika tak mampu membeli ayam bahkan sehingga ada yang menyuruh pergi ke negara lain kepada sesiapa yang memberi perbandingan negara tersebut lebih murah taraf hidupnya. Sikap sombong ini diperhatikan oleh rakyat. Tak cukup dengan menteri, speaker dewan rakyat juga turut sama mengecewakan. Menjadi pengadil yang berat sebelah, RTM menjadi bahan kempen tidak adil padahal rakyat perlukan informasi dua belah pihak sebelum membuat pilihan. Semalam dan dua hari lepas rumah bekas PM digeledah dan penemuan amat mengejutkan. Takut saya nak tulis di sini. Mungkin pembaca boleh dapatkan dari sumber lain. Tapi apa yang saya nak tegaskan ialah kita perlukan pembangkang yang kuat untuk menjadi check and balance dalam parlimen. Takut nanti kalau tiada pembangkang yang berwibawa penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berulang lagi. Masa tu nanti mungkin kita pangkah PAS pulak. Pas kenalah sediakan calun berwibawa setiap kawasan parlimen. Jangan pakai tangkap muat sahaja. Terima kasih.

Sunday, 29 April 2018

Selamatmengundi.

Alhamdulillah penamaan calun untuk PRU 14 telah selamat dijalankan pada 28 April yang lepas. Selesai satu bab dan akan berkempenlah parti dan calon yang bertanding sehingga hari pengundian yang dijadualkan pada 9 Mei nanti. Memang ramai calon yang terpaksa berputih mata apabila pencalunan ditolak SPR tetapi kalau awak rasakan awak di pihak yang betul silalah bawa ke mahkamah, biar hakim yang menentukan. Dalam pilihanraya kali ini ada tiga kumpulan yang bertanding iaitu Barisan Nasional yang mempertahankan gelaran, Pakatan Harapan yang mencabar gelaran dan Gagasan Sejahtera yang menghidu peluang. Jalankanlahtanggungjawab masing-masing kepada negara. Ikutilah undang-undang dan peraturan. Kepada golongan atas pagar, berfikirlah dengan sebaik-baiknya sebelum memangkah di bilik mengundi. Yang penting ialah kumpulan yang menang akan dapat mentadbir negara dengan lebih baik untuk 5 tahun yang akan datang. Sekian sahaja, selamat mengundi.

Monday, 29 January 2018

Homestay Martapura Ditangguh seketika.....

Assalamualaikum sahabat semua. Untuk kesekian kalinya selepas berehat panjang, kita bersua lagi di lapangan. Ampun maaf dipinta kerana sepanjang tahun 2017 tidak dapat menghantar satu posting pun di ruang ini. Dukacita dimaklumkan bahawa homestay ini ditangguhkan perkhidmatannya ke satu masa yang tidak dapat diramalkan. Kesukaran memberi khidmat terbaik kepada pelanggan menyebabkan keputusan yang sukar ini dilakukan. Buat masa ini kesemua lapan buah bilik telah disewakan secara bulanan. Memang dari segi kepuasan tentulah mengecewakan. Hajat dan tujuan asal tidak tercapai. Dari segi pendapatan apatah lagi, jauh dari yang pernah dinikmati. Tapi oleh kerana kedudukan yang jauh dari homestay maka terpaksalah saya relakan semuanya ini. Tak terkejar rasanya bila ada pelanggan datang. Yang siksanya bila mereka datang secara tiba-tiba. Takpelah, insyaallah akan sampai masanya kita beroperasi kembali dengan konsep dan tawaran yang lebih menarik lagi. Memang rasa senang banyak sekarang. Masalah kerosakan elektrik, air, pendingin hawa, kebocoran dan semuanya diselenggara oleh penyewa. Alhamdulillah semoga kesenangan kurniaan ilahi ini berpanjangan. Amin ya rabbal alamin.

Monday, 20 June 2016

Salam Ramadhan Kareem

Assalamualaikum sahabat yang budiman sekelian. Hari ini telah masuk hari ke 16 Ramadhan, semoga kita semua akan beroleh pengisian Ramadhan yang cemerlang tahun ini, insyaAllah. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Salam Ramadhan Kareem kepada semua yang membaca tulisan ini. Martapura Homestay pada hari raya tahun ini, seperti tahun-tahun sudah sambutan amat menggalakkan. Apakan daya bilangan yang terhad sedangkan pada tarikh yang sama semua hendak menginap. Takpe lah, siapa dahulu didahulukan. Ada beberapa kejadian yang tak baik telah menimpa beberapa orang pengusaha homestay di daerah batu pahat ini. Saya suka berkongsi cerita supaya dapat menjadi iktibat dan sempadan kepada kita semua. Bulan lepas salah satu bilik telah diduduki oleh pelanggan bujang. Dia membayar separuh harga untuk menginap seminggu dan berjanji akan settle ketika hendak keluar nanti. Sebelum hari terakhir dia telah keluar bukan sekadar tidak membayar baki bahkan lebih dahsyat lagi membawa sekali aircond yang dicabut dari dalam bilik. Seorang rakan saya juga telah terkena perkar seperti ini. Lebih meriah lagi kerana yang menipu itu perempuan. Dia datang menginap bersama anak-anaknya. Janji nak menginap dua hari. pada hari kedua mengadu kepada rakan saya nak tukar ke homestay yang satu lagi kerana alasannya homestay ini bertangga dan bahaya untuk anaknya yang masih kecil. Rakan itu memberitahu homestay yang sebuah lagi pun sama , rumah teres dua tingkat yang bertangga di dalam. Bila rakan saya pergi kehomestay pertama untukberjumpa penyewa yang tinggal hanyalah homestay dengan kesan geledah, banyak barang-barang berharga seperti cerek elektrik, pembakar roti, bantal, selimut dan gambar hiasan telah dicuri. Penyewa ni kadang-kadang sangat baik sehingga kita pun malu sekiranya tidak dapat melayan mereka dengan sempurna. Tetapi tidak kurang juga yang mengambil peluang nak kebas barang-barang berharga yang ada dalam homestay kita. Ada sekali tu extension yang berharga RM25 pun dikebasnya. Jadi rakan-rakan pengusaha homestay kenalah berjaga-jaga dengan penyewa yang datang. Kalau kita lihat mencurigakan tolak sahaja, katakan sudah ada tempahan. Lebih baik tidak untung dari rugi. Bye-bye semua. Terima kasih.

Wednesday, 23 March 2016

Tuesday, 3 February 2015

Martapura Homestay meraikan majlis perkahwinan.

Alhamdulillah pada 31 Januari 2015 yang lepas, satu majlis perkahwinan telah dilangsungkan di Martapura Homestay. Majlis berlangsung dengan sungguh meriah sekali. Lapan buah khemah dipasang di halaman homestay. Dengan ruang memasak dan membasuh yang luas, bangsal deejay yang lapang dan tempat letak kereta yang mudah para jemputan dapat meraikan majlis dengan gembira dan ceria. Mari kita sama-sama berkongsi kemeriahan dengan melihat gambar-gambar menarik sekitar majlis tersebut. 1zw/s320/IMG_1227.JPG" />AAAAAAAQw/Dv2CieylC1I/s320/IMG_1222.JPG" />

Wednesday, 19 March 2014

Bertambah rezeki dari Allah....

Assalamualaikum. Alhamdulillah, dapat menulis malam ini setelah hampir 4 bulan tersekat. Untuk tahun 2014 ini belum ada posting lagi, inilah yang pertama. Alhamdulillah, syukur kepada Allah dikurniakan rezeki, Martapura berkembang lagi. Ada tambahan sebuah lagi homestay dalam bentuk rumah sebuah. Insyaallah kepada yang datang berkeluarga kita sediakan sebuah rumah dua bilik yang lengkap dengan peralatan. Cumanya rumah ini tidak dilengkapi aircond, memberi pilihan kepada penyewa memilih yang menggunakan kipas sahaja. Lihat gambar, rumah ini terletak berhadapan dengan barisan bilik homestay yang lain, dalam kawasan pagar dan melalui pintu masuk yang sama. Ada halaman yang luas disebelahnya memungkinkan penyewa melakukan aktiviti sukaneka dan sebagainya. Insyaallah, Martapura Homestay masih pilihan terbaik untuk anda.

Sunday, 1 September 2013

Pengalaman itu mendewasakan, sila berfikir positif.

Assalamualaikum. Beberapa bulan telah berlalu tanpa menghantar sebarang posting, seronok melihat bilangan yang menjenguk sudah semakin ramai. Tahun 2013 ini hanya 3 posting sahaja yang sempat ditulis. Sibuk dan banyak kerja yang walaupun tak banyak dan tak berat tapi mengacau. Selamat hari raya kepada semua yang membaca, walaupun Syawal cuma tinggal 3 hari sahaja lagi. Takpe lah, sekurang-kurangnya keberkatannya masih bersisa. Seperti biasa kalau takde apa-apa tentu takde isu nak dicoretkan, kalau ada isu barulah ada idea nak tulis. Sebab itu bagi sesetengah penulis baik novelis mahupun cerpenis yang negatif pun akan dijadikan positif, diolah menjadi idea menarik untuk diniagakan. Musim raya ni alhamdulillah Martapura berjalan dengan bagus. Hebat sangat tu tak la tapi perniagaan bermusim macam ni memang sejuk dan panas berganti. Cuti panjang ada la masyukkk.... Hari merdeka pun sangat hebat pertanyaan nak menginap di sini. Alhamdulillah. Tapi dalam seronok menerima panggilan tempahan tu ada yang tak bestnya. Ini la yang nak jadi cerita hari ni. Najiha yang empunya nama, mengenalkan diri dari Kelantan. Booking 4 bilik terus dan janji akan check-in 31 Ogos. Tunggu punya tunggu haram tak nampak batang hidung. Najiha, kenapa tak datang? Kalau tak jadi masuk awak call la buat pembatalan, ini main diam je. Awak tau tak berapa ramai orang call nak tempah Martapura tarikh tu saya tak terima sebab dah penuh. Sebelas orang sekurang-kurangnya, awak tau!! Hai, marah ke? He he... Marah sangat tu tak la tapi bengang jugak dengan sikap tak bertanggungjawab macam ni. Ini orang pentingkan diri sendiri. Tapi ada hikmahnya. Lepas ni nanti kenalah mintak pendahuluan kepada sesiapa yang nak menginap masuk Martapura. Terutamanya waktu-waktu prima macam ni... Kita tak kisah sangat dengan duit pendahuluan tu tapi sebab Najiha dah ajar kita cara sebenar, kita kena ikut la untuk kebaikan semua. Lagipun pendahuluan tu kita tolak dengan jumlah sebenar nanti. ********************************** Sempena bulan raya ni nak cerita sikit kisah berhari raya boleh? Boleh la kan, buat penyegar minda. Semua orang tau di Johor ni kalau beraya memang meriah, tak boleh celen (challenge) negeri lain. Biskut raya mesti ada atas meja kalau pun tak penuh meja. Maksudnya bila-bila masa ada tetamu datang beraya tuan rumah tak kalut nak sediakan makanan atau jamuan. Ini yang betulnya. Tetamu senang tuan rumah senang. Tapi sekarang ni dah banyak yang jadi tak betul. Nak datang rumah orang beraya tunggu open house baru boleh datang, sebab apa? Ada banyak makanan, tujuan utama nak ziarah dan bermaafan dah lari... Pada hal yang sebenarnya kalau datang masa open house tu sibuk makan je mana ada masa nak beramah mesra dengan tuan rumah. Dia pun nak layan ramai lagi tetamu lain. Berbeza kalau datang asing-asing ni puas bercerita dengan tuan rumah yang mungkin setahun sekali baru berjumpa. Ada jugak yang buat jadual berziarah malam, tetapkan 5 buah satu malam. Ini pun masalah jugak, kalau semua sediakan makanan berat, dua rumah pertama je yang tetamu beria makan, tiga rumah terakhir kadang-kadang langsung tak usik. Kesiannn.... Semalam berbual dengan sorang kawan pasal jamuan hariraya ni. Cerita dia lagi trajis. Kawan anak dia dari JB call nak datang beraya. Jumlahnya 50 orang. Tapi yang sedapnya siap demand lagi nak makan Baryani Gam. Takpe la, dah orang nak makan kita kena la sediakan. Kawan ni siap tempah lagi you, kat Md Shah Bariyani Batu Pahat untuk 50 orang. Bila sampai masnya hampehhh, yang datang hanya 10 orang je, dah la tu petang baru sampai. Cuba fikir mana nak letak baki nasi yang banyak tu... hari pulak dah dekat malam. Memang orang macam ni tak fikir panjang, main sedap mulut je... Pengajarannya lain kali kalau berhari raya tu baik tuan rumah mahu pun tetamu, rancang la baik-baik kalau nak masak atau tempah jamuan tu. Tips yang boleh dikongsi ialah untuk tuan rumah sediakan dalam kuantiti yang sedikit supaya rasa makanan akan lebih sedap. Untuk tetamu pula sentiasa berpesan kepada tuan rumah, insyaallah datang kalau ada masa, tuan jangan bersusah-susah pula. Boleh macam tu? Insyaallah......

Tuesday, 2 April 2013

Tak jumpa cari? Takpe kami bantu.....

Memang sudah dijangka dan macam yang sudah-sudah cuti sekolah tempahan untuk menginap di Martapura amat menggalakkan. Terima kasih yang telah datang dan menginap di sini. Semua bagus-bagus, menjaga kebersihan dan keselamatan bilik. Satu dua yang merokok dalam bilik tu, harap kalau nak merokok keluar la sekejap, bukan apa, bau rokok melekat kat cadar dan bantal susah nak hilang. Lagi satu kesian kat teman (isteri atau kawan) sebilik terpaksa menyedut asap sama. Yang telefon tapi tak jadi check-in pun ramai jugak. Ada beberapa sebab, yang boleh diatasi dan tak boleh diatasi (kalau boleh pun lama lagi agaknya). Maaf la yang call nak cari homestay sebuah rumah dengan beberapa bilik lengkap dengan dapur dan kemudahan membasuh pakaian. Saya faham itu sebenarnya konsep homestay yang tepat tetapi Martapura ni lebih kepada konsep motel, bilik-bilik penginapan tanpa kemudahan tersebut. Dah tu nape guna nama homestay? Insyaallah akan menyusul kemudian, ini sebagai mukaddimah sahaja dahulu. Dan yang datang tersesat payah nak jumpa mintak maaf la. Jalan yang tuan lalu tu jalan belakang. Memang cepat sampai tapi jalan masuk sedang dalam pembinaan. Yang datang lalu jalan ini memang pasti akan berfikir Martapura ni duduk dalam hutan sebab kalau malam gelap gelita, maklumlah jalan tutup untuk kerja-kerja pembinaan longkang konkrit. Kepada pelanggan yang dah booking masa nak datang ikutlah jalan depan, Hotel Pelican jadi panduan. Signboard banyak ikut je signboard insyaallah sampai. Kalau yang datang dari arah Muar tu (ramai jugak yang melawat saudara mara di Hospital Putra nak cari penginapan murah) pandu arah ke Batu Pahat, selepas jambatan traffic light belok kiri tak jauh 1 kilometer sahaja sampai la ke Martapura. Sekarang ni Martapura Corner sedang dalam pembinaan. Insyaallah lepas ni nanti nak sarapan dan makan tengahari atau minum petang tak jadi masalah, semuanya depan pintu bilik sahaja. Ini sebagai kemudahan tambahan, tetapi kalau nak makan kat bandar lagi la banyak pilihan. Asam pedas sangat terkenal di Batu Pahat ni. Asam Pedan Yana, Asam Pedas Pak Ali, Asam Pedas Kampung Merdeka, Asam Pedas Odeon semuanya memang sedap-sedap. Nasi Baryani pun apa kurangnya. Baryani Md Shah terkenal sejak zaman berzaman, Baryani Power tak kurang mengancam. Untuk yang baru datang ke Batu Pahat ni kat Taman Batu Pahat depan ni ada satu warong jual nasi lemak kukus yang sangat popular sekali dan menjadi sebutan ramai. Kenapa dia popular? Sebab sedap la tu... Tak jauh ke depan ada satu lagi warong nasi lemak yang dimasak menggunakan kayu api, setiap hari masak dua periuk besar pukul 10 kalau nasib baik ada la tapi biasanya bakal kempunan.. Balik pada cerita jalan masuk tadi, walau dah hilang punca kita tak kisah, call saja kata di mana kita akan jemput. Kepada En Azlin jangan segan la sebab melilau tak jumpa cari, tuan bukan orang pertama saya songsong. Kena pulak waktu malam, tambah hujan lagi....

Wednesday, 6 February 2013

Kena berubah untuk maju.....

Memang sudah dijangka cuti sekolah akan pastinya memberi sinar kepada homestay ini. Bila cuti sekolah je banyakla tempahan untuk menginap di homestay ini. Tapi sayangnya kuantiti yang sedikit tak dapat memenuhi semua permintaan. Terpaksa la tolak. Pernah terfikir kan bagus kalau yang tak dapat menginap sebab dah penuh tu check-in hari lain tapi mana mungkin sebab program atau aktiviti mereka memang pada tarikh yang sama. Biasanya mereka datang sebab jemputan kenduri kahwin la masa cuti sekolah ni.... Dan terbaru ni Martapura pun sekali lagi dipenuhi pelanggan. Alhamdulillah, bila pelanggan masuk bermakna rezeki masuk. Tapi ada juga cerita tak sedap bila mereka keluar. Kita sama berkongsi supaya sama-sama perbaiki. Bukan ke kita nak menuju negara maju 2020? Penduduk negara maju biasanya bersikap positif dalam segala perkara. Positif maksudnya baik la... Pertamanya sampah, masalah yang tak pernah selesai sampai bila-bila selagi manusia bergerak. Bukan nak marah sebab ada sampah tapi buang la dalam tong sampah yang disediakan. Jangan la campak mana suka. Kalau sampah kering mungkin ada maaf juga tapi kalau bekas makanan berkuah dilonggok tepi dinding, menjijis-jijis... alamak, ingat ye sikap kita melambangkan mentaliti pemikiran kita. Ada jugak yang tak off air-cond. Dah awak nak keluar tu apa salahnya petik sekali suis air-cond tu sebelah pintu je. Yang peliknya suis lampu boleh pulak di off kan. Kan ke macam ada agenda tersembunyi. Lampu tak mati nanti tuannya nampak, kalau aircond tak mati tuannya tak nampak. Biarlah kena letrik lebih, aku dah bayar bilik ni.... Sebenarnya sikap macam ni kena ubah. Cuba fikir sejenak kalau awak off letrik masa awak keluar awak sudah mengelak pembaziran. Bayaran pun kena bayar RM60 juga. Tapi kalau awak tak off letrik awak sudah membazir sedangkan bayaran bilik tak dikurangkan sedikit pun. Apa yang awak dapat? Adakah awak puas kerana saya kena bayar bil elektrik lebih? He, he, he... inilah yang saya maksudkan tadi kena berfikir seiring dengan tahap negara maju. Alasan taknak buang sampah pun lebih kurang sama la macam tu. Ala, kan kita bayar bilik ni, nanti dia kemas la, kalau tak takde kerje pulak dia. Kerana nak bagi keje jadilah sampah basah berlonggok tepi dinding, soya dalam sinki dan sebagainya. Alhamdulillah, kita buat je la keje kita. Tapi benda-benda macam ni akan berubah sedikit demi sedikit. Bila masyarakat dah biasa nanti. Saya nak kaitkan satu contoh. Dulu orang buat kenduri kahwin semua makan berhidang. Satu hidang empat orang, kalau datang dua orang kena cari dua lagi untuk cukupkan korum. Kalau datang enam orang anak berempat makan dulu ibu ayah tunggu dua lagi ahli kumpulan. Tapi sekarang semua kenduri kendara guna sistem buffet, senang. Masa zaman peralihan dulu bukan senang nak terus terima sistem buffet ni. Ada yang kata payah nak bajet lauk la takut orang ambil banyak, nanti tak cukup lauk tuan rumah yang susah. Ada yang kata takde sikap bekerjasama la, sebab tak payah panggil orang lain anak beranak je dah boleh handle satu majlis. Ada seribu satu macam alasan. Tapi sekarang bila dah terbiasa nampaknya lebih senang sistem buffet ni. Tapi bukan semua berperangai macam ni. Ada yang kita masuk nak kemas bilik macam takde orang check-in, bersih je. Selimut pun tersusun rapi. Lantai siap bersapu lagi. Terima kasih tuan. Ini tentu jenis yang dah biasa berjalan ni. Jenis pembersih. Ini tulis macam ni marah ke? Oh tidak, sekadar menulis untuk sama-sama ambil iktibar. Langsung tak marah sedikit pun sebab terfikir juga kadang-kadang emak ayah dah tegur suruh kemas tapi si anak buat tak tau je. Anak umur baru nak masuk remaja ni memang perangai kena sabar sikit. Takkan tak boleh nak buang sampah bungkus makanan dalam tong sampah depan pintu je. Takkan nak petik suis tepi pintu pun tak mampu buat. Takkan itu pun ayah emak nak check. Tapi anak pun bukan sebab malas atau dengki tapi mungkin terlupa. Sangka baik la kita....

Monday, 28 January 2013

Selamat Tahun Baru 2013

Alhamdulillah dapat juga mengisi ruang waktu untuk mencatat serba sedikit pengalaman hujung tahun 2012. Sekembali dari menunaikan fardhu haji tak datang mood untuk menulis. Cuma bila dah berdepan dengan laptop ni terpanggil juga untuk mengetuk serba sedikit. Martapura menjanjikan masa depan yang cemerlang. Sepanjang cuti sekolah berpusu-pusu orang menempah masuk. Ada yang balik kampung, bercuti dengan anak-anak, menghadiri majlis perkahwinan dan sebagainya. Yang lebih meriah lagi ialah semasa konvokesyen UTHM bilik penuh ditempah oleh graduan padahal kedudukan agak jauh (18km) dari UTHM.Mungkin mereka senang menginap berdekatan bandar. Lebih meriah bermaksud peluang untuk mendapat pelanggan dari kalangan peserta konvokesyen memang terbuka. Dan bila ramai yang masuk menginap maka banyaklah cerita atau peristiwa yang tercatat. Kalau dikenangkan memang menyeronokkan. Apa taknya, setiap keluarga/kumpulan yang masuk mesti ada cerita tersendiri. Paling simpati sekali pelanggan budiman dari Kedah dan Negeri Sembilan. Mereka datang untuk menghadiri peristiwa paling menggembirakan iaitu menyaksikan anak/waris mereka menerima ijazah. Malangnya terpaksa menginap di Martapura yang ketika itu sedang bergenang dengan lumpur. Maaf la abang dan kakak, tidak disengajakan. Keadaan Martapura masa tu memang okay takde masalah tapi cuma jalan masuk je berlumpur sebab longkang sepanjang jalan masuk nak di upgrade jadikan longkang konkrit. Kebetulan musim hujan pulak. Hah, menanggunglah sekejap... Tapi sekarang jalan masuk dah cantik, tu semua tinggal kenangan. Kakak tu pun kata nak datang menginap sini lagi tahun depan. Siap jadi saudara pulak... Alhamdulillah. Tentang cadangan pelanggan suruh pasang banyak signboard penunjuk arah tu insyaallah sedang diusahakan, dah tempah pun dan sebahagian sudah dipasang. Memang betul lah sangat susah nak meraba kalau arah tak ditunjukkan. Memang dalam blog ni ada peta lengkap boleh print dan rujuk je tapi bukan semua datang melalui blog. Kalau ada cadangan lain memang dialu-alukan untuk kebaikan bersama. Benda baru memang la banyak yang kurang kan???

Friday, 21 September 2012

Perasmian Martapura Dan Sambutan Hari Raya

Telah disimpulkan hajat di hati, kalau siap nanti nak buat majlis doa selamat. Bila dah siap ni kena la tunaikan. Kebetulan pulak masih dalam bulan Syawal, kita ambil la keberkatan bulan raya ni mudah-mudahan Martapura ini sentiasa meriah dengan kebanjiran pengunjung seperti orang berhari raya. Dan nak dijadikan cerita insyaallah musim haji ni yang tinggal tak berapa hari ni saya dan isteri akan menjadi tetamu allah, baik jugak kalau disekalikan majlis doa selamat mudah-mudahan selamat pergi, kembali dan mendapat haji yang mabrur.











Alhamdulillah, walaupun kecil-kecilan sahaja tetapi yang penting niat telah ditunaikan.
Kepada semua yang telah bertungkus lumus membantu menjayakan majlis pertolongan anda semua amat dihargai. Terutamanya kepada semua adik-beradik yang berusaha keras. Inilah gunanya hubungan erat adik beradik. Buka saja mulut nak buat kenduri, masing-masing tahu peranan masing-masing.
Kepada sahabat handai yang hadir, terima kasih banyak, kehadiran anda amat dihargai. Sesetengahnya datang dari sejauh Muar dan Senggarang semata-mata datang untuk turut meraikan.
Segala pertolongan dan budi baik anda hanya Allah sahaja yang membalasnya. Amin...


Dan yang paling meriah sekali dua hari selepas majlis ini diadakan tiga tempahan diterima untuk bermalam di Martapura ini.  Alhamdulillah, syukur ya Allah atas limpahan rezeki yang engkau berikan.


Thursday, 20 September 2012

Tetamu Pertama..

Syukor alhamdulillah, beberapa hari selepas bersedia menerima pelanggan, dapat call dari seseorang nak booking bilik. Alhamdulillah beryukur sangat sebab kata orang kalau yang pertama dah ok maka selalunya yang berikutnya akan jadi orait. Mula-mula risau jugak sebab yang nak datang ni dari jauh, Shah Alam, mesti kena jaga baik-baik ni, takut kena komplen.
Bila sampai masanya alhamdulillah En Zainal ni baik sangat orangnya. Datang dengan rombongan besar, tak ingat saya berapa buah kereta tapi dalam lapan atau tujuh buah semuanya. Terima kasih la En Zainal dan keluarga kerana memilih Martapura sebagai tempat bermalam. Tahniah juga kepada anak En Zainal yang melangsungkan perkahwinan hari tersebut. Tentu sahaja Martapura akan kekal dalam ingatan tuan kerana bermalam di sini pada hari terpenting dalam hidup tuan.
Kalau nak diimbas semula agak risau jugak nak terima kehadiran En Zainal. Tapi saya sentiasa berpegang kepada sifir hanya aiskrim saja dijual di kedai aiskrim. Maksudnya awak masuk kedai jual aiskrim awak tak boleh mintak bubur kacang ke, bubur ayam ke. Tapi aiskrim yang dijual sangat berpatutan dengan harga dan memuaskan hati.
Macam jugak Martapura ini, kemudahan yang disediakan rasanya dah cukup baik dan sesuai dengan harga yang ditawarkan. Sekali lagi terima kasih banyak kepada En Zainal dan rombongannya. Tentang komen En Zainal tu insyaallah saya akan permudahkan jalan mencari arah Martapura ini. Saya akan letakkan signboard yang banyak di setiap simpang. Kalau tepi jalan besar memang mudah sangat nak cari ye.   Nak buat macam mana En Zainal, memang dah  tanah saya kat sini..........

Thursday, 23 August 2012

Selamat Datang, Tuan-tuan dialu-alukan.

Assalamualaikum.
Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman sekelian. Alhamdulillah Martapura Homestay telah sedia didiami bersempena Hariraya yang mulia ini. Sesiapa yang ada urusan di Batu Pahat, sesiapa yang perlu penginapan semalam dua semasa menguruskan hal-hal kerjaya mereka di bandar ini bolehlah mencuba homestay ini.
Alhamdulillah sambutan setakat ini pun nampaknya sangat baik sekali. Kita tidak nafikan setiap yang baru itu memang banyak kelemahannya tetapi tuan-tuan lah yang dapat menolong pihak pengurusan membuat penambahbaikan dan menutup kelemahan ini.
Kata orang sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, begitu juga dengan kemampuan kami memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami. Sedikit demi sedikit kami berusaha memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik buat tuan-tuan semua.

Kepada pelanggan yang sudah check-out tu alhamdulillah, tentulah ada kenangan manis pahit menginap di rumah baru ini bukan? Tetapi apa pun saya serukan serangkap pantun ini untuk tuan-tuan;

Pucuk buas bersama ikan,
Tambah perisa pucuk beremi,
Kalau puas sebar-sebarkan,
Kalau terasa bisikkan kami

Sehingga berjumpa lagi, terima kasih.

Wednesday, 1 August 2012

Maaf ye Bang, bukan tak nak terima, tak siap lagi...

Alhamdulillah walaupun belum dibuka, walaupun belum beroperasi tetapi yang menjeling sudah ramai. Yang bertanya khabar dan merisik pun dah ramai juga. Nanti la tuan-tuan, lepas elektrik masuk je semua kelengkapan akan dibawa masuk segera. Seminggu sebelum Syawal boleh la beroperasi kot, mudah-mudahan.
Terbaru semalam ada lagi seorang hamba allah ni telefon nak booking. Bukan sehari, bukan seminggu tapi sebulan. Bila diberitahu belum siap, dia pulak ajar kita suruh completekan sebuah bilik je dulu untuk dia. Dah la tu, berulangkali pulak sebut nak bayar harga sebulan taknak harga harian. Amboi amboi amboi siapa mintak siapa nih...?
Homestay dengan rumah sewa ni lain konsep penyewaannya. Kalau awak menyewa rumah awak kena bayar deposit sebulan (sekurang-kurangnya) maksudnya untuk nak menyewa rumah berharga seratus ringgit awak kena bayar dua ratus ringgit. Satu hari lebih kurang tiga ringgit setengah je. Awak juga kena bayar deposit api dan deposit air, jumlahnya bergantung rundingan tuan rumah. Kalau pandai cakap, atau muka awak nampak alim sikit mungkin dapat free. Tiap-tiap bulan awak kena bayar seratus dan bayar juga bil air dan api yang awak gunakan.
Menginap di homestay atau motel saya ni awak kena bayar secara harian. Katakan RM60, awak check-in sahaja awak dikenakan bayaran tersebut. Kalau awak nak sambung sehari lagi awak kena bayar RM60 tengahari esok sebabnya check-in dan check-out biasanya pukul 12.00 tengahari. Seharian di dalam bilik awak gunakanlah kemudahan yang ada seperti aircond, telivesyen, heater, hairdryer, wifi  dan segalanya kerana sudah termasuk dalam bayaran RM60 tadi.
Kalau awak nak duduk motel saya dengan bayaran bulanan, berapakah yang awak sanggup bayar? RM60 X 30 hari sudah jadi RM1800, sanggupkah? Kalau nak kurang saya bagi sehari RM50 bermakna sebulan jadi RM1500. Boleh? Saya sendiri rasakan tidak sanggup kerana nampak agak tinggi dan menekan awak. Tetapi saya tidak boleh kenakan RM400 sebulan (RM13 sehari) kerana merugikan saya. Bayangkan kalau awak duduk memasang aircond dan segala kemudahan cuma dikenakan RM13 sahaja, tentu saya jatuh terjelepok. Cukup bulan nak bayar bil elektrik pun kena pinjam isteri saya.
Dan kata lah awak merayu jugak dan saya terpaksa bagi. Tiba-tiba dalam masa sebulan awak duduk disitu, ada permintaan yang menggalakkan pada setiap hujung minggu. Kiralah RM60 X 8 hari saya sudah boleh dapat RM480 tanpa memikirkan risiko-risiko kerosakan selama sebulan yang tak dapat saya lihat...
Jadi buatlah yang biasa orang buat, jangan buat benda pelik. Nak duduk sebulan, cari rumah sewa. Nak duduk sehari dua bolehlah masuk homestay saya.
Maaf ya bang, saya rasa saya dah menolak dengan cara yang sangat baik semalam. Apa yang saya tulis ni saya tak aspek abang baca tetapi buat renungan ramai.

Wednesday, 18 July 2012

Keberkatan Bulan Ramadhan, insyaallah.....

Lebih kurang 15 hari selepas penyerahan bangunan oleh kontraktor, masih belum ada apa-apa perkembangan positif lagi di pihak TNB. Maksudnya elektrik belum masuk lagi. Bila elektrik takde ni macam-macam benda teraral. Air cond tak boleh pasang, langsir tak boleh pasang, hiasan pun terbengkalai, renovation yang kecil-kecil pun tertunda.
Bila pergi sekitar kampung dan berbual dengan kawan-kawan dan kenalan, alhamdulillah sokongan amat memberangsangkan. Masing-masing menyokong dan mendoakan, sekurang-kurangnya sedap la hati mendengar. Malangnya TNB kenapa la kau lambat sangat.
Tak sabar menunggu lama akhirnya semalam pergi juga ke TNB, nak dengar sendiri apa masalah yang jadi lama sangat ni. Mengikut pegawai tu, pemasangan sesalur hanya di buat dalam tempoh 14 hari selepas pembayaran. Semalam hari ke sebelas, maknanya ada tiga hari lagi. Tambahan pulak bilangan tiang banyak (4 batang) tu yang ambil masa sikit. Kemudian tujuh hari selepas pemasangan sesalur barulah pembayaran untuk meter boleh dibuat untuk dapatkan bekalan elektrik. Mak aiiii, macam ni dekat dua bulan jugak la baru dapat elektrik. Tapi takpe la cerita banyak pun tak guna, cuma harap-harap pihak TNB ni boleh semak semula la proses kerja mereka, kenape mesti tunggu lama sangat untuk dapatkan elektrik? Tak cukup kakitangan, gunakan syarikat kontraktor, banyak lagi boleh difikirkan.
Balik kepada cerita tadi, bila di fikir-fikirkan memang senak dada menunggu lama sangat nak mula. Tapi kena ingat semua perkara tu ada hikmahnya. Begitu juga projek ni. Mungkin agaknya tuhan nak limpahkan beribu rahmat dan limpahan rezeki yang melaut, operasinya bermula mengambil keberkatan Ramadhan Al Mubarak, siapa tahu???