Friday 21 September 2012

Perasmian Martapura Dan Sambutan Hari Raya

Telah disimpulkan hajat di hati, kalau siap nanti nak buat majlis doa selamat. Bila dah siap ni kena la tunaikan. Kebetulan pulak masih dalam bulan Syawal, kita ambil la keberkatan bulan raya ni mudah-mudahan Martapura ini sentiasa meriah dengan kebanjiran pengunjung seperti orang berhari raya. Dan nak dijadikan cerita insyaallah musim haji ni yang tinggal tak berapa hari ni saya dan isteri akan menjadi tetamu allah, baik jugak kalau disekalikan majlis doa selamat mudah-mudahan selamat pergi, kembali dan mendapat haji yang mabrur.











Alhamdulillah, walaupun kecil-kecilan sahaja tetapi yang penting niat telah ditunaikan.
Kepada semua yang telah bertungkus lumus membantu menjayakan majlis pertolongan anda semua amat dihargai. Terutamanya kepada semua adik-beradik yang berusaha keras. Inilah gunanya hubungan erat adik beradik. Buka saja mulut nak buat kenduri, masing-masing tahu peranan masing-masing.
Kepada sahabat handai yang hadir, terima kasih banyak, kehadiran anda amat dihargai. Sesetengahnya datang dari sejauh Muar dan Senggarang semata-mata datang untuk turut meraikan.
Segala pertolongan dan budi baik anda hanya Allah sahaja yang membalasnya. Amin...


Dan yang paling meriah sekali dua hari selepas majlis ini diadakan tiga tempahan diterima untuk bermalam di Martapura ini.  Alhamdulillah, syukur ya Allah atas limpahan rezeki yang engkau berikan.


Thursday 20 September 2012

Tetamu Pertama..

Syukor alhamdulillah, beberapa hari selepas bersedia menerima pelanggan, dapat call dari seseorang nak booking bilik. Alhamdulillah beryukur sangat sebab kata orang kalau yang pertama dah ok maka selalunya yang berikutnya akan jadi orait. Mula-mula risau jugak sebab yang nak datang ni dari jauh, Shah Alam, mesti kena jaga baik-baik ni, takut kena komplen.
Bila sampai masanya alhamdulillah En Zainal ni baik sangat orangnya. Datang dengan rombongan besar, tak ingat saya berapa buah kereta tapi dalam lapan atau tujuh buah semuanya. Terima kasih la En Zainal dan keluarga kerana memilih Martapura sebagai tempat bermalam. Tahniah juga kepada anak En Zainal yang melangsungkan perkahwinan hari tersebut. Tentu sahaja Martapura akan kekal dalam ingatan tuan kerana bermalam di sini pada hari terpenting dalam hidup tuan.
Kalau nak diimbas semula agak risau jugak nak terima kehadiran En Zainal. Tapi saya sentiasa berpegang kepada sifir hanya aiskrim saja dijual di kedai aiskrim. Maksudnya awak masuk kedai jual aiskrim awak tak boleh mintak bubur kacang ke, bubur ayam ke. Tapi aiskrim yang dijual sangat berpatutan dengan harga dan memuaskan hati.
Macam jugak Martapura ini, kemudahan yang disediakan rasanya dah cukup baik dan sesuai dengan harga yang ditawarkan. Sekali lagi terima kasih banyak kepada En Zainal dan rombongannya. Tentang komen En Zainal tu insyaallah saya akan permudahkan jalan mencari arah Martapura ini. Saya akan letakkan signboard yang banyak di setiap simpang. Kalau tepi jalan besar memang mudah sangat nak cari ye.   Nak buat macam mana En Zainal, memang dah  tanah saya kat sini..........

Thursday 23 August 2012

Selamat Datang, Tuan-tuan dialu-alukan.

Assalamualaikum.
Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman sekelian. Alhamdulillah Martapura Homestay telah sedia didiami bersempena Hariraya yang mulia ini. Sesiapa yang ada urusan di Batu Pahat, sesiapa yang perlu penginapan semalam dua semasa menguruskan hal-hal kerjaya mereka di bandar ini bolehlah mencuba homestay ini.
Alhamdulillah sambutan setakat ini pun nampaknya sangat baik sekali. Kita tidak nafikan setiap yang baru itu memang banyak kelemahannya tetapi tuan-tuan lah yang dapat menolong pihak pengurusan membuat penambahbaikan dan menutup kelemahan ini.
Kata orang sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, begitu juga dengan kemampuan kami memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami. Sedikit demi sedikit kami berusaha memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik buat tuan-tuan semua.

Kepada pelanggan yang sudah check-out tu alhamdulillah, tentulah ada kenangan manis pahit menginap di rumah baru ini bukan? Tetapi apa pun saya serukan serangkap pantun ini untuk tuan-tuan;

Pucuk buas bersama ikan,
Tambah perisa pucuk beremi,
Kalau puas sebar-sebarkan,
Kalau terasa bisikkan kami

Sehingga berjumpa lagi, terima kasih.

Wednesday 1 August 2012

Maaf ye Bang, bukan tak nak terima, tak siap lagi...

Alhamdulillah walaupun belum dibuka, walaupun belum beroperasi tetapi yang menjeling sudah ramai. Yang bertanya khabar dan merisik pun dah ramai juga. Nanti la tuan-tuan, lepas elektrik masuk je semua kelengkapan akan dibawa masuk segera. Seminggu sebelum Syawal boleh la beroperasi kot, mudah-mudahan.
Terbaru semalam ada lagi seorang hamba allah ni telefon nak booking. Bukan sehari, bukan seminggu tapi sebulan. Bila diberitahu belum siap, dia pulak ajar kita suruh completekan sebuah bilik je dulu untuk dia. Dah la tu, berulangkali pulak sebut nak bayar harga sebulan taknak harga harian. Amboi amboi amboi siapa mintak siapa nih...?
Homestay dengan rumah sewa ni lain konsep penyewaannya. Kalau awak menyewa rumah awak kena bayar deposit sebulan (sekurang-kurangnya) maksudnya untuk nak menyewa rumah berharga seratus ringgit awak kena bayar dua ratus ringgit. Satu hari lebih kurang tiga ringgit setengah je. Awak juga kena bayar deposit api dan deposit air, jumlahnya bergantung rundingan tuan rumah. Kalau pandai cakap, atau muka awak nampak alim sikit mungkin dapat free. Tiap-tiap bulan awak kena bayar seratus dan bayar juga bil air dan api yang awak gunakan.
Menginap di homestay atau motel saya ni awak kena bayar secara harian. Katakan RM60, awak check-in sahaja awak dikenakan bayaran tersebut. Kalau awak nak sambung sehari lagi awak kena bayar RM60 tengahari esok sebabnya check-in dan check-out biasanya pukul 12.00 tengahari. Seharian di dalam bilik awak gunakanlah kemudahan yang ada seperti aircond, telivesyen, heater, hairdryer, wifi  dan segalanya kerana sudah termasuk dalam bayaran RM60 tadi.
Kalau awak nak duduk motel saya dengan bayaran bulanan, berapakah yang awak sanggup bayar? RM60 X 30 hari sudah jadi RM1800, sanggupkah? Kalau nak kurang saya bagi sehari RM50 bermakna sebulan jadi RM1500. Boleh? Saya sendiri rasakan tidak sanggup kerana nampak agak tinggi dan menekan awak. Tetapi saya tidak boleh kenakan RM400 sebulan (RM13 sehari) kerana merugikan saya. Bayangkan kalau awak duduk memasang aircond dan segala kemudahan cuma dikenakan RM13 sahaja, tentu saya jatuh terjelepok. Cukup bulan nak bayar bil elektrik pun kena pinjam isteri saya.
Dan kata lah awak merayu jugak dan saya terpaksa bagi. Tiba-tiba dalam masa sebulan awak duduk disitu, ada permintaan yang menggalakkan pada setiap hujung minggu. Kiralah RM60 X 8 hari saya sudah boleh dapat RM480 tanpa memikirkan risiko-risiko kerosakan selama sebulan yang tak dapat saya lihat...
Jadi buatlah yang biasa orang buat, jangan buat benda pelik. Nak duduk sebulan, cari rumah sewa. Nak duduk sehari dua bolehlah masuk homestay saya.
Maaf ya bang, saya rasa saya dah menolak dengan cara yang sangat baik semalam. Apa yang saya tulis ni saya tak aspek abang baca tetapi buat renungan ramai.

Wednesday 18 July 2012

Keberkatan Bulan Ramadhan, insyaallah.....

Lebih kurang 15 hari selepas penyerahan bangunan oleh kontraktor, masih belum ada apa-apa perkembangan positif lagi di pihak TNB. Maksudnya elektrik belum masuk lagi. Bila elektrik takde ni macam-macam benda teraral. Air cond tak boleh pasang, langsir tak boleh pasang, hiasan pun terbengkalai, renovation yang kecil-kecil pun tertunda.
Bila pergi sekitar kampung dan berbual dengan kawan-kawan dan kenalan, alhamdulillah sokongan amat memberangsangkan. Masing-masing menyokong dan mendoakan, sekurang-kurangnya sedap la hati mendengar. Malangnya TNB kenapa la kau lambat sangat.
Tak sabar menunggu lama akhirnya semalam pergi juga ke TNB, nak dengar sendiri apa masalah yang jadi lama sangat ni. Mengikut pegawai tu, pemasangan sesalur hanya di buat dalam tempoh 14 hari selepas pembayaran. Semalam hari ke sebelas, maknanya ada tiga hari lagi. Tambahan pulak bilangan tiang banyak (4 batang) tu yang ambil masa sikit. Kemudian tujuh hari selepas pemasangan sesalur barulah pembayaran untuk meter boleh dibuat untuk dapatkan bekalan elektrik. Mak aiiii, macam ni dekat dua bulan jugak la baru dapat elektrik. Tapi takpe la cerita banyak pun tak guna, cuma harap-harap pihak TNB ni boleh semak semula la proses kerja mereka, kenape mesti tunggu lama sangat untuk dapatkan elektrik? Tak cukup kakitangan, gunakan syarikat kontraktor, banyak lagi boleh difikirkan.
Balik kepada cerita tadi, bila di fikir-fikirkan memang senak dada menunggu lama sangat nak mula. Tapi kena ingat semua perkara tu ada hikmahnya. Begitu juga projek ni. Mungkin agaknya tuhan nak limpahkan beribu rahmat dan limpahan rezeki yang melaut, operasinya bermula mengambil keberkatan Ramadhan Al Mubarak, siapa tahu???

Monday 9 July 2012

Daya Tarikan Burung Botak.

Setiap sesebuah homestay biasanya ada kekuatan sendiri yang menjadi faktor kewujudannya. Ada yang dibina berhampiran pantai, air terjun, tepi hutan, pinggir tasik, tepi sungai, tempat bersejarah dan sebagainya. Tujuannya memudahkan pelancung datang dan bermalam. Tapi bagi Martapura Homestay ni bagaimana? Apa kekuatannya?
Banyak kekuatannya kalau nak disenaraikan. Tapi kalau setakat 8 bilik rasanya tak perlu promosi berlebihan kot, takut permintaan melebihi  produk. Kalau nak dikira kekuatan tentulah ianya menjadi tempat rombongan meminang atau menghantar pengantin melepaskan letih lesu sebelum berkunjung ke rumah pengantin hari esok, terutamanya yang datang dari jauh, Kedah, Perak, Kelantan atau Terengganu. Dan untuk yang balik kampung berhariraya mana yang tak dapat bilik dirumah ibubapa boleh la menumpang semalam dua di sini. Harganya pun tak mahal, kira berpatutan sangat. Bagi pelajar-pelajar UTHM pun boleh dijadikan tempat melepas penat, khususnya pelajar PJJ.
Dan alhamdulillah rupanya berhampiran homestay ini ada daya tarikan yang sungguh hebat dan menjadi tumpuan ramai iaitu Habitat Burung Botak. Memang sangat dekat, cuma 300 meter sahaja dari homestay ini. Inilah yang dikatakan rezeki allah, sesiapa yang menginap di sini nanti bolehlah dibawa melihat tempat pembiakan burung ini kalau ada permintaan.
Menurut kajian populasi burung ini sangat kurang, hanya ada di Matang Perak, Nenasi Pahang dan beberapa tempat di Pantai Barat Johor. Bayangkanlah betapa susahnya orang lain nak melihat burung ini tiba-tiba ianya ada bersarang dan membiak di depan mata kita. Saya sudah mengenali burung ini semenjak 40 tahun lepas. Ketika saya balik dari sekolah saya selalu melihat burung ini terbang tinggi diudara berhampiran sekolah. Tidak terfikir saya hendak menelitinya dari dekat, maklumlah ketika itu semuanya nampak biasa. Dan sekarang apabila mengetahui mahalnya burung ini barulah saya cuba mengintai-intai peluang untuk melihatnya. Sudah menjadi perkara biasa burung ini hinggap dan berjalan di atas tanah sekitar habitatnya berhampiran homestay ini. Pertama kali melihatnya dari dekat memang mengujakan kerana saiznya yang besar dan gerakkan yang perlahan ketika berjalan sangat menarik. Kalau burung ini tak turun pun kita masih boleh melihatnya kerana pokok tempat sarangnya dibuat pun tidaklah jauh sangat. Kalau dengan teropong tentu nampak lebih jelas. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang burung botak dan kehidupannya silalah baca rencana di bawah.


Batu Pahat kawasan biak burung botak
Berita Harian, 10 Apr 2003
 



BURUNG botak yang dipelihara di Taman Emas.


JOHOR sememangnya bumi bertuah kerana kaya dengan pelbagai khazanah alam semula jadi dan menjadi tumpuan pelbagai habitat, termasuk haiwan yang dikhuatiri hampir pupus seperti spesies burung botak.

Burung botak atau nama saintifiknya Leptoptilos Javanicus sejenis burung tempatan yang banyak dikesan di beberapa kawasan berpaya atau pesisir pantai.

Perangkaan dikeluarkan sebuah pertubuhan pengkaji burung antarabangsa pada 2001 mendapati jumlah burung berkenaan di seluruh dunia kini tidak sampai 5,000 ekor.

Bagaimanapun, populasi burung berkenaan atau turut dikenali sebagai Lesser Adjutant Stork kini semakin berkurangan dan boleh dikategorikan antara spesies haiwan yang terancam.

Kini, jumlah yang ada hanya sekitar 2,500 ekor, termasuk dua peratus yang ditemui di beberapa kawasan tertentu seperti hutan paya bakau Matang di Perak, hutan simpan Nenasi di Pahang serta pantai barat Johor.

Dianggarkan kira-kira 40 peratus atau 250 ekor daripada jumlah keseluruhan burung botak di negara ini bertumpu di beberapa tempat tertentu di pantai barat negeri ini.

Antara kawasan dikesan menjadi tumpuan burung berkenaan di Johor ialah Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Benut di Pontian; Parit Jawa, Muar serta Batu Pahat.

Bentuk muka bumi serta keadaan semula jadi sebahagian besar kawasan terbabit yang diliputi pantai berlumpur, sesuai dijadikan habitat haiwan berkenaan.

Selain tempat mencari makanan, ada di antara kawasan terbabit turut dikesan menjadi lokasi pembiakan, terutama berhampiran satu kawasan perumahan, Taman Emas di Batu Pahat.

Tempat pembiakan burung berkenaan di pinggir bandar Batu Pahat itu ditemui seorang pencinta alam, Mansur Poh, awal tahun lalu dan dianggar menempatkan antara 50 hingga 80 sarang.

Penemuan itu membawa harapan bahawa burung berkenaan boleh membiak serta terselamat daripada ancaman kepupusan, tetapi langkah melindunginya perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Penduduk tempatan yang ditemui Berita Harian mendakwa tempat pembiakan itu yang terletak dalam kawasan paya belukar berhampiran taman perumahan berkenaan, wujud sejak lebih 50 tahun lalu.

Bagaimanapun, kehadiran haiwan berkenaan di kawasan terbabit tidak diberi perhatian penduduk di situ kerana ramai yang tidak menyangka ia adalah spesies burung yang diancam kepupusan.

Lokasi habitat itu yang ditumbuhi beberapa pokok pulai menjadi tempat burung botak membuat sarang serta membiak sebelum kembali ke Parit Jawa di Muar untuk membesar.

Kini, kawasan pembiakan berkenaan tidak saja menarik perhatian masyarakat setempat, malah menjadi tumpuan peminat burung serta pencinta alam dari beberapa negara lain seperti Jerman dan Singapura.

 

PENDUDUK tempatan melihat burung botak melalui
teropong jauh
di Taman Emas.


Ketika ditemui, Mansor berkata, kawasan berkenaan dikunjungi orang ramai hampir setiap hari untuk melihat serta mendapatkan pelbagai maklumat mengenai proses pembiakan burung berkenaan.

Bagaimanapun, kehadiran mereka di kawasan itu perlu dikawal dan dihadkan pada jarak tertentu bagi mengelak aktiviti yang dilakukan mengganggu burung berkenaan.

Burung botak dikatakan sangat sensitif dan akan bertindak meninggalkan sarangnya jika diganggu dan antara gangguan itu ialah bunyi bising daripada pelbagai kegiatan harian di kawasan sekitar.

Justeru, pihak berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Perbadanan Taman Negara Johor disaran melakukan sesuatu untuk melindungi habitat burung berkenaan.

Antara langkah boleh diambil ialah mengekalkan tempat pembiakan haiwan itu walaupun untuk sementara bagi memastikan populasi burung botak bertambah.

Difahamkan, kawasan pembiakan burung botak seluas lebih lima hektar yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Batu Pahat itu adalah milik persendirian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr Chua Soi Lek, ketika melawat habitat berkenaan, baru-baru ini berkata kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung habitat itu.

“Setakat ini, belum ada cadangan atau keputusan untuk mewartakan kawasan terbabit sebagai habitat yang perlu dilindungi kerana masalah utama yang dihadapi ia terletak di pusat bandar serta tidak luas.

“Selain itu, lokasi habitat berkenaan boleh menimbulkan masalah pemantauan serta penguatkuasaan jika kerajaan membuat keputusan untuk mewartakannya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Perhilitan diarah memasang papan tanda di kawasan terbabit bagi mengelak sebarang percubaan pihak tidak bertanggungjawab mengganggu habitat itu.

Dr Chua yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penggaram berkata, burung itu sebenarnya dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

Mengikut akta terbabit, mana-mana pihak yang dikesan melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengakibatkan kepupusan burung berkenaan boleh dikenakan tindakan.

“Orang ramai dilarang memburu, menangkap dan membiak burung jenis ini kerana kesalahan itu membolehkan mereka didenda sehingga RM5,000 mengikut akta berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan sebelum ini mendapati ada antara 100 dan 150 burung botak mendiami sekitar kawasan itu selain penemuan 80 sarangnya.

Dr Chua berkata, kawasan pembiakan haiwan berkenaan boleh dijadikan daya tarikan pelancongan, sekali gus memerlukan habitatnya dilindungi untuk tujuan itu.

“Spesies burung yang diiktiraf di peringkat dunia ini akan pupus jika tiada langkah penjagaan. Punca kepupusannya kerana pembangunan pesat, pencemaran serta pembalakan haram,” katanya.

Apa yang dikhuatiri, masa depan burung botak di Batu Pahat masih belum selamat kerana ada pihak tidak bertanggungjawab menjadikan haiwan berkenaan sebagai sasaran buruan.




Sunday 1 July 2012

Dah hampir dekat dah nak jadi kenyataan, insyaallah moga diizinkan allah...

Alhamdulillah progress bangunan dah hampir siap, mungkin dalam 95% kot, hanya daun pintu bilik air, sinki dan pam tandas je belum pasang. Benda tu dah ada cuma tak sempat pasang, petang ni siap kot... Tapi masalahnya air dan elektrik tak dapat lagi ni, permohonan dah hampir sebulan. 2 kali kontraktor dah membuat susulan tapi jawapannya nanti, nanti.... Tu yang Pak Mail bgtau kalau kontraktornya Cina dah lama dapat. Tak tau la kenapa, mungkin orang cina ni lebih berbudi bahasa ketika memohon agaknya... biar la, fikir positif je...
Bangunan dah siap, lepas ni nanti pengurusannya jadi bertambah rumit. Mula-mula nak fikirkan nak isi bahagian dalam. Kena buat macam orang lain juga kalau nak bersaing. Katil kena tegap dan cantik, tilam kena tebal dan empuk, bantal tak boleh lebih kurang, penghawa dingin kena yang baru, paling kurang YORK 1.5HP baru sejuk, settie mesti ada class, tv tak boleh koman2, dan yang paling penting, WiFi kena ada, maklumlah mengikut hambatan teknologi dunia. Itu je ker? Insyaallah kalau itu je semuanya dah ada dalam senarai bahkan katil dan tilam dah beli pun tunggu air masuk dan cuci bilik je. Yang lain-lain takde masalah kot sebab bajetnya ada, senangla kita uruskan.
Yang paling penting dan kena bijaksana sekali ialah menguruskan operasinya. Pengurus operasi, pengurus jualan, pengurus pengiklanan kena main peranan besar mencari idea macamana nak isi "rumah" ini sepanjang masa. Bila dah orang masuk, kena la jaga supaya persekitaran sentiasa bersih, bantal cadar sentiasa bertukar, bilik air sentiasa wangi, tv sentiasa dalam keadaan baik, bukan sekadar hiasan macam rumah tumpangan yang kita biasa-biasa sewa tu. Environment luar mesti selesa, kalau sebelah menyebelah bukan dalam bidang kuasa kita takpe, nak buat macam mana, tapi dalam pagar kita kenalah hias secantik-cantiknya.
Biar orang datang nanti tak puas sehari.
Boleh ke buat macam ni agak-agaknya? Insyaallah boleh dan by hook or by crook kena buat juga.

Sunday 24 June 2012

Jangan la macam ni...

Saya selalu jugak berkelana ke tempat orang, jauh dari rumah dan kampung halaman. Samada mengikuti rombongan perkahwinan dan sebagainya atau solo bersama keluarga. Tempat menginap biasanya di hotel lakalau solo bersama keluarga, tetapi kalau beramai-ramai chalet atau resort lebih meriah. Kalau menginap di luar ni samada hotel atau chalet selalunya isteri saya akan pastikan kami check out dalam keadaan baik sebagaimana kami check in. Dan sekarang apabila kami hampir memiliki perniagaan ini tentulah kami mengharapkan semua pelanggan kami bersikap seperti isteri saya, insyaallah.

Bagaimana pun ada beberapa insiden atau peristiwa tak sedap di dengar tentang pelanggan homestay atau chalet ni. Antaranya peristiwa kawan-kawan saya menyewa chalet di Terengganu satu ketika dulu. Si Abu ni (bukan nama sebenar) bersama Ali (bukan nama sebenar) sampai dari Batu Pahat pada awal pagi lebih kurang pukul 7 pagi. Mana nak berehat maka mereka pun carilah chalet. Selepas setuju dengan harga RM60 sehari mereka pun masuk. Tepat pukul 12 tgh si owner datang bawa resit dan mintak RM70.  Chalet tu patutnya hanya boleh check in pukul 12.00 tgh tetapi mereka nak masuk pagi pukul 10 jadi owner tu minta tambahan RM5 sejam. Salah si owner tu sebab kenapa tak bagitau awal-awal. Kalau bagitau awal saya rasa kawan ni pun tak kisah sangat setakat RM10. Tapi bila rasa macam dah terkena member ni bengang la. Tau apa yang mereka buat? Pukul 2 mereka keluar makan tengahari mereka on letrik dan air-cond, tak cukup dengan itu mereka on paip air. Sampai bila mereka off kan, sampai mereka check out tengahari esok. RM10 punya pasal si owner tu dah kena bayar bil api dan air mungkin jadi RM20. Yang kawan ni pulak tak terfikir ke awak kalau awak buat macam tu awak membazirkan air dan elektrik, merugikan pengusaha chalet tapi di pihak awak tak dapat apa-apa pun. Setakat nak membalas dendam konon. Pastu cerita pulak dengan kawan-kawan dengan megah kononnya dah kenakan pengusaha chalet tu. Tak sedar semua orang ketawakan kebodohan awak di belakang.

Ada juga satu cerita lagi, kisah sekeluarga 5 beranak ni. Chalet takde kolam tapi anak-anak nak mandi, jenuh la berendam dalam bilik air, habis basah lencun semua langsir dan tisu tandas yang disediakan. Tak cukup dengan itu lepas mandi bergodak kat atas katil pulak. Melompat antara satu katil dengan satu lagi hingga patah. Ini pun cerita kawan saya jugak. Lepas tu check out tak bagitau pengurusan chalet pun, ya la takut kena bayar katil patah tu.....

Pelanggan yang baik pun ramai jugak. Saya pernah anjurkan hari keluarga  di Tanjung Sedili beberapa tahun lepas. Saya booked semua chalet di situ. Bila hari check in ramai yang mintak tilam tambahan sebab ahli keluarga ramai. Satu tilam kena tambah RM10. Bila nak check out saya collect duit tilam tambahan tu dapat la RM 100. Masa nak bayar owner tu bagi bill pada saya ikut harga tempahan awal, takde pun charge extra RM 100 tu. Memang lupa lupa betul agaknya, inilah sikap pengusaha kita yang tak suka buat catatan, kerja lebih sikit, tapi lebih rela rugi seratus ringgit. Nasib baik la dapat pelanggan seperti saya, bila saya ingatkan dia dan bayar RM100 untuk sewa 10 buat tilam tambahan, buat-buat la lupa ada keluarkan tilam semalam, padahal dua tiga kali sound kena charge tambahan.....

Jadi kesimpulannya apa, kenalah berfikir positif. Pelanggan baik, pengusaha pun baik. Dua-dua saling bergantung antara satu sama lain. Kalau banyak chalet takde pelanggan bisnes tak jalan, kalau takde chalet tempat-tempat menarik yang kita lawati kita yang susah kena tidur hotel yang mahal. Itu pun dah kira baik, kadang-kadang hotel jauh tidur la dalam kete atau kena penat  drive ke tempat yang ada penginapan.

Harap-harap pelanggan saya berfikir dan bertindak  seperti saya ketika menginap di homestay..... selamat.









Saturday 21 April 2012

Kawan-kawan dan saudara mara datang melawat, itu tandanya membawa doa. insyaallah.

Memang ramai yang datang melawat tapak. Kawan-kawan pun ramai, saudara mara pun ramai. Biasalaa, masing-masing nak tengok projek apa, bila dah tau ada yang menggalakkan, tak kurang yang diam, diam tu banyak maknanya. Tak yakin pun boleh jadi, was-was pun mungkin jugak. Tapi yang nyata masing-masing nampak suka. Masing-masing tak sabar nak tengok hasil. Hasil bentuk bangunan pun ye,  dan yang utama sekali hasil jaya tidaknya projek ini.
Dalam banyak benda yang disebut, satu yang pasti ialah masing-masing nak duduk free. Memang itu mereka sebut secara berseloroh sahaja. Gurau-gurau. Tapi dalam gurau terpikir jugak apa salahnya kalau mereka  nak duduk free. Sekurang-kurangnya sebulan pertama promosi duduk la, kita pun boleh belajar mengurus pelanggan, tak gitu? Dan lagi untuk saudara mara ni memang patut bagi mereka duduk menginap semalam dua kat sini untuk menghargai sikap "kepunyaan" dalam diri mereka. Biar mereka rasa bahawa projek ini projek mereka jugak. Kalau bermasalah, mereka datang membantu. Kalau menguntungkan biar sama-sama mereka rasai faedahnya.
Teringat satu cerita diriwayatkan isteri saya ada satu pengusaha makanan ringan, kerepek dan biskut raya berdekatan sekolahnya. Usahawan tersebut telah puluhan tahun berniaga dan sekarang kilangnya mencatat hasil jualan tahunan ratusan ribu kalau pun tidak juta. Uniknya, setiap kali bila hampir hariraya puasa, usahawan ini akan membekalkan secara percuma pelbagai jenis biskut raya kepada semua rumah dalam kampung itu. Siap packing cantik-cantik dan pekerjanya akan hantar sebuah rumah demi sebuah rumah.  Inilah yang kita mahukan, kalau penduduk kampung tersebut berbangga pun dengan kilang kerepek dalam kampung tersebut, mereka dapat faedah dari ujudnya kilang tersebut setidak-tidaknya sekali setahun. Ini tidak, sebahagian kita duduk sebelah kilang besar tapi nak rasa sikit pun kena beli. "Kau duduk kat mana?" "Oh, rumah aku kat Lorong Permai la, sebelah Kilang Kicap Cap Itik yang terkenal tu!" Punyalah bangga sebut nama kilang tapi nak makan kicap cap itik kena beli kat kedai.
Jadi kawan-kawan dan saudara mara kalau dah baca tulisan ni jangan malu la nak datang ye...



Saturday 7 April 2012

Doa selamat sikit, mudah-mudahan diberkati Allah.


Kata orang tua-tua kalau nak buat sesuatu tu buatlah doa selamat sikit mintak doa mudah-mudahan apa yang kita hajatkan termakbul. Sebab tu dibuat jugak la secara kecil-kecilan. Kata orang bilangan tak penting tapi keikhlasan yang berdoa dan yang mengaminkan tu lebih afdal. Petang tu belikan me goreng kat restoran mamak, beli kuih muih sikit dan air kotak serta air mineral, buat la tahlil ringkas dan doa selamat. Lepas makan berjamu la semua yang hadir. Habis la hajat dan cukup la syarat. Alhamdulullah, moga diberkati Allah hendaknya, Aminnnn.

Wednesday 4 April 2012

Masalah? Memangla ada....

Masalah ni kalau nak disebut memang banyak. Kalau nak perfect dan ikut seratus peratus macam atas kertas memang pening, kalau tak dapat nanti tu yang buat termuntah tu. Jadi jangan fikir susah-susah, take it easy man...
Kalau nak senaraikan dah boleh baca empat, lima halangan yang melintang . Hari pertama nak tambak tanah pun hampir nak kena kelentng apek tu. Kelam kabut jugak la pegi kensel apek A tu.
Tengah-tengah tambak tanah ada pulak yang sound  "kau nak tambak, tambak tanah kau je, tanah rezab tu jangan kacau, pokok sawit tu biar dia membesar." Abis macamana lori nak masuk kalau tak lalu tanah depan. Pokok tu pun kena la buang susahkan lori nak lalu. Alahai, benda kecik macam ni pun nak bising. Tapi bagus jugak ada benda-benda macam ni, belajar mengawal perasaan.
Semalam kontraktor ni nak duit, bangunan dan 20% siap. Dulu kata boleh terima cek tapi skrg kata nak cash pulak. Macam mana ni? Takyah la berkira sangat, ikutkan je la kehendak tokey tu, takut nanti lambat pulak siapnya. Terpaksa la sehari lima kali cucuk baru boleh dapat RM5 ribu, kalau nak RM20 ribu 4 hari straight la kena buat mcm tu. Jenuh....

Sunday 1 April 2012

Kenapa Martapura.???

Martapura ni bukan pilihan utama nak namakan homestay ni, just letak2 je, tengok sedap tak sedap, sesuai ke tak sesuai. Maksudnya tak muktamad lagi la... Apa pun Martapura ni ialah nama sebuah tempat di Pulau Makasar sana, daerah Banjarmasin kalau tak silap. Martapura ni ialah tempat asal Allahyarham Haji Alias bin Haji Hassan. Dah nama jalan pun diambil sempena nama isterinya, biarlah nama homestay ni diambil dari nama kampung asal dia. Ini satu penghormatan untuk almarhum yang banyak berjasa membuka perkampungan Parit Lapis ni... Kenapa tak letak je nama dia??? Oh, nama dia tak sesuai nak abadikan pada projek kecil yang entah berjaya entahkan tidak ni. Dengar khabar kat belakang sana nak buat taman perumahan, tentu bagus dan sesuai kalau nama Almarhum diabadikan di sana nanti, Taman Haji Alias. Insyaallah...