Setiap sesebuah homestay biasanya ada kekuatan sendiri yang menjadi faktor kewujudannya. Ada yang dibina berhampiran pantai, air terjun, tepi hutan, pinggir tasik, tepi sungai, tempat bersejarah dan sebagainya. Tujuannya memudahkan pelancung datang dan bermalam. Tapi bagi Martapura Homestay ni bagaimana? Apa kekuatannya?
Banyak kekuatannya kalau nak disenaraikan. Tapi kalau setakat 8 bilik rasanya tak perlu promosi berlebihan kot, takut permintaan melebihi produk. Kalau nak dikira kekuatan tentulah ianya menjadi tempat rombongan meminang atau menghantar pengantin melepaskan letih lesu sebelum berkunjung ke rumah pengantin hari esok, terutamanya yang datang dari jauh, Kedah, Perak, Kelantan atau Terengganu. Dan untuk yang balik kampung berhariraya mana yang tak dapat bilik dirumah ibubapa boleh la menumpang semalam dua di sini. Harganya pun tak mahal, kira berpatutan sangat. Bagi pelajar-pelajar UTHM pun boleh dijadikan tempat melepas penat, khususnya pelajar PJJ.
Dan alhamdulillah rupanya berhampiran homestay ini ada daya tarikan yang sungguh hebat dan menjadi tumpuan ramai iaitu Habitat Burung Botak. Memang sangat dekat, cuma 300 meter sahaja dari homestay ini. Inilah yang dikatakan rezeki allah, sesiapa yang menginap di sini nanti bolehlah dibawa melihat tempat pembiakan burung ini kalau ada permintaan.
Menurut kajian populasi burung ini sangat kurang, hanya ada di Matang Perak, Nenasi Pahang dan beberapa tempat di Pantai Barat Johor. Bayangkanlah betapa susahnya orang lain nak melihat burung ini tiba-tiba ianya ada bersarang dan membiak di depan mata kita. Saya sudah mengenali burung ini semenjak 40 tahun lepas. Ketika saya balik dari sekolah saya selalu melihat burung ini terbang tinggi diudara berhampiran sekolah. Tidak terfikir saya hendak menelitinya dari dekat, maklumlah ketika itu semuanya nampak biasa. Dan sekarang apabila mengetahui mahalnya burung ini barulah saya cuba mengintai-intai peluang untuk melihatnya. Sudah menjadi perkara biasa burung ini hinggap dan berjalan di atas tanah sekitar habitatnya berhampiran homestay ini. Pertama kali melihatnya dari dekat memang mengujakan kerana saiznya yang besar dan gerakkan yang perlahan ketika berjalan sangat menarik. Kalau burung ini tak turun pun kita masih boleh melihatnya kerana pokok tempat sarangnya dibuat pun tidaklah jauh sangat. Kalau dengan teropong tentu nampak lebih jelas. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang burung botak dan kehidupannya silalah baca rencana di bawah.
Batu Pahat kawasan biak burung botak Berita Harian, 10 Apr 2003
Oleh Mustapha Ismail
BURUNG botak yang dipelihara di Taman Emas.
JOHOR sememangnya bumi bertuah kerana kaya dengan pelbagai khazanah alam semula jadi dan menjadi tumpuan pelbagai habitat, termasuk haiwan yang dikhuatiri hampir pupus seperti spesies burung botak.
Burung botak atau nama saintifiknya Leptoptilos Javanicus sejenis burung tempatan yang banyak dikesan di beberapa kawasan berpaya atau pesisir pantai.
Perangkaan dikeluarkan sebuah pertubuhan pengkaji burung antarabangsa pada 2001 mendapati jumlah burung berkenaan di seluruh dunia kini tidak sampai 5,000 ekor.
Bagaimanapun, populasi burung berkenaan atau turut dikenali sebagai Lesser Adjutant Stork kini semakin berkurangan dan boleh dikategorikan antara spesies haiwan yang terancam.
Kini, jumlah yang ada hanya sekitar 2,500 ekor, termasuk dua peratus yang ditemui di beberapa kawasan tertentu seperti hutan paya bakau Matang di Perak, hutan simpan Nenasi di Pahang serta pantai barat Johor.
Dianggarkan kira-kira 40 peratus atau 250 ekor daripada jumlah keseluruhan burung botak di negara ini bertumpu di beberapa tempat tertentu di pantai barat negeri ini.
Antara kawasan dikesan menjadi tumpuan burung berkenaan di Johor ialah Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Benut di Pontian; Parit Jawa, Muar serta Batu Pahat.
Bentuk muka bumi serta keadaan semula jadi sebahagian besar kawasan terbabit yang diliputi pantai berlumpur, sesuai dijadikan habitat haiwan berkenaan.
Selain tempat mencari makanan, ada di antara kawasan terbabit turut dikesan menjadi lokasi pembiakan, terutama berhampiran satu kawasan perumahan, Taman Emas di Batu Pahat.
Tempat pembiakan burung berkenaan di pinggir bandar Batu Pahat itu ditemui seorang pencinta alam, Mansur Poh, awal tahun lalu dan dianggar menempatkan antara 50 hingga 80 sarang.
Penemuan itu membawa harapan bahawa burung berkenaan boleh membiak serta terselamat daripada ancaman kepupusan, tetapi langkah melindunginya perlu dilaksanakan secepat mungkin.
Penduduk tempatan yang ditemui Berita Harian mendakwa tempat pembiakan itu yang terletak dalam kawasan paya belukar berhampiran taman perumahan berkenaan, wujud sejak lebih 50 tahun lalu.
Bagaimanapun, kehadiran haiwan berkenaan di kawasan terbabit tidak diberi perhatian penduduk di situ kerana ramai yang tidak menyangka ia adalah spesies burung yang diancam kepupusan.
Lokasi habitat itu yang ditumbuhi beberapa pokok pulai menjadi tempat burung botak membuat sarang serta membiak sebelum kembali ke Parit Jawa di Muar untuk membesar.
Kini, kawasan pembiakan berkenaan tidak saja menarik perhatian masyarakat setempat, malah menjadi tumpuan peminat burung serta pencinta alam dari beberapa negara lain seperti Jerman dan Singapura.
PENDUDUK tempatan melihat burung botak melalui teropong jauh di Taman Emas.
Ketika ditemui, Mansor berkata, kawasan berkenaan dikunjungi orang ramai hampir setiap hari untuk melihat serta mendapatkan pelbagai maklumat mengenai proses pembiakan burung berkenaan.
Bagaimanapun, kehadiran mereka di kawasan itu perlu dikawal dan dihadkan pada jarak tertentu bagi mengelak aktiviti yang dilakukan mengganggu burung berkenaan.
Burung botak dikatakan sangat sensitif dan akan bertindak meninggalkan sarangnya jika diganggu dan antara gangguan itu ialah bunyi bising daripada pelbagai kegiatan harian di kawasan sekitar.
Justeru, pihak berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Perbadanan Taman Negara Johor disaran melakukan sesuatu untuk melindungi habitat burung berkenaan.
Antara langkah boleh diambil ialah mengekalkan tempat pembiakan haiwan itu walaupun untuk sementara bagi memastikan populasi burung botak bertambah.
Difahamkan, kawasan pembiakan burung botak seluas lebih lima hektar yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Batu Pahat itu adalah milik persendirian.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr Chua Soi Lek, ketika melawat habitat berkenaan, baru-baru ini berkata kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung habitat itu.
“Setakat ini, belum ada cadangan atau keputusan untuk mewartakan kawasan terbabit sebagai habitat yang perlu dilindungi kerana masalah utama yang dihadapi ia terletak di pusat bandar serta tidak luas.
“Selain itu, lokasi habitat berkenaan boleh menimbulkan masalah pemantauan serta penguatkuasaan jika kerajaan membuat keputusan untuk mewartakannya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Perhilitan diarah memasang papan tanda di kawasan terbabit bagi mengelak sebarang percubaan pihak tidak bertanggungjawab mengganggu habitat itu.
Dr Chua yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penggaram berkata, burung itu sebenarnya dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.
Mengikut akta terbabit, mana-mana pihak yang dikesan melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengakibatkan kepupusan burung berkenaan boleh dikenakan tindakan.
“Orang ramai dilarang memburu, menangkap dan membiak burung jenis ini kerana kesalahan itu membolehkan mereka didenda sehingga RM5,000 mengikut akta berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan sebelum ini mendapati ada antara 100 dan 150 burung botak mendiami sekitar kawasan itu selain penemuan 80 sarangnya.
Dr Chua berkata, kawasan pembiakan haiwan berkenaan boleh dijadikan daya tarikan pelancongan, sekali gus memerlukan habitatnya dilindungi untuk tujuan itu.
“Spesies burung yang diiktiraf di peringkat dunia ini akan pupus jika tiada langkah penjagaan. Punca kepupusannya kerana pembangunan pesat, pencemaran serta pembalakan haram,” katanya.
Apa yang dikhuatiri, masa depan burung botak di Batu Pahat masih belum selamat kerana ada pihak tidak bertanggungjawab menjadikan haiwan berkenaan sebagai sasaran buruan.
|
No comments:
Post a Comment